Memuliakan tetamu

 Catatan Kuliah Asar: Wasiat Rasulullah oleh Ustazah Asma' Harun


Hadith tentang Memuliakan Tetamu


اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ.


رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, 


“Siapa saja yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata baik atau diam. Siapa saja yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia memuliakan tetangganya. 


Siapa saja yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia memuliakan tamunya.”


(HR. Bukhari dan Muslim) [HR. Bukhari, no. 6018, 6019, 6136, 6475 dan Muslim, no. 47]


Dalam pengamalan peribadi menjadi tetamu untuk beberapa tuan rumah, antara budaya atau sunnah yang baik penduduk di Mekah dan Madinah adalah betapa mereka dengan sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada tetamu mereka dari segi layanan mahupun jamuan. 


Untuk jamuan, mereka biasanya akan melakukan hidangan bersiri, iaitu bermula dengan hidangan teh, buah, manisan dan barulah kepada menu utama. Adat kita bertamu, maka kita akan akhiri dengan ucapan terima kasih.


Namun, respon mereka amat menarik untuk diteladani dan direnungi. Kata mereka,

"Anda adalah tetamu Ar Rahman, hakikatnya apa yang anda nikmati adalah layanan daripada Allah. Kamilah yang bersyukur kerana dipilih oleh Ar Rahman sebagai perantara untuk melayani kamu.."

Begitu indah dan kuat ikatan akidah mereka dengan Allah.


Dalam sebuah kisah lain, seorang tetamu hadir ke sebuah rumah ulama. Dan ulama ini telah menghidangkan makanan yang sedap kepada tetamu, sehingga dipuji oleh tetamu ini 


Respon ulama ini bahawa kalau tetamu ini ingin menikmati hidangan terbaik (lebih baik), maka bertamulah di rumah adiknya. Lantas tetamu ini pun bersetuju dan dibawa untuk bertemu ke rumah adik kepada ulama ini.


Alangkah terkejutnya kerana yang dikatakan terbaik itu, tetamu ini hanya dihidangkan dengan hidangan yang minimal iaitu teh dan biskut kering. Adakah ini dikatakan terbaik?


Jawab ulama ini,

"demi Allah, aku mengetahui bahawa apa yang dihidangkan oleh adikku ini, adalah hidangan terbaik yang dia ada di rumahnya. Sedangkan aku, biarpun engkau merasakan aku telah menghidangkan makanan yang sedap, hakikatnya aku masih menyimpan makanan yang terbaik untuk diri dan keluargaku berbanding dengan adikku ini..."


Tuan rumah yang terbaik di sisiNya adalah tuan rumah yang memberikan terbaik berdasarkan kemampuan, bukan bergantung kepada harga hidangan itu. Inilah keadilan Allah SWT.


Mari kita memuhasabah bagaimana kita melayani tetamu kita. Apakah kaitan dengan tajuk? Ya, ia berkait kerana biasanya dalam budaya kita, wanita atau isteri yang akan memainkan peranan untuk memasak, mengemas rumah sebelum tetamu sampai di rumah kita.


Sejauhmana kita memilih atau memberikan layanan berbeza antara tetamu yang hadir? Hakikatnya, antara tetamu yang hadir, kita tidak mengetahui siapa yang membawa kebaikan dan membawa keluar keburukan dari rumah kita. Maka, seandainya kita menjadi tuan rumah berdasarkan "IMAN", pasti kita akan melayani tetamu kesemuanya dengan terbaik!


Bukankah iman itu bermaksud pengakuan dari hati, membenarkan dengan lidah serta membuktikan dengan amal? Ya, kita akan memberikan yang terbaik kerana keyakinan kepada hadith tentang kaitan iman dan memuliakan tetamu.


Cuba kenangkan kembali, antara banyak rumah sesama adik beradik, rumah siapa yang biasa dijadikan rumah berkumpul? Alangkah beruntungnya andai itu adalah rumah kita. Dan biasanya ciri-ciri rumah yang disukai untuk berkumpul adalah apabila sikap tuan rumah yang sangat tinggi akhlak dalam memuliakan tetamu.


Penatkah melayan tetamu? Ya, dari segi manusiawi, kita akan berasa letih. Namun, apabila usaha manusiawi didorong oleh keimanan, maka itulah yang akan melahirkan kekuatan. Hanya dengan iman, dorongan amal bukan lagi mengharapkan pujian manusia, tetapi pengiktirafan Yang Maha Esa, melalui ganjaran syurga.


Dan kebiasaan kita, ada masanya kita mahu membuat sedikit perubahan, perabut baru dan sebagainya. Berbanding sekadar niat memperindahkan rumah, angkatlah niat kepada yang lebih murni, iaitu menghendaki agar tetamu selesa andai mereka bertamu di rumah kita. Namun, hendaklah dijauhi rasa riyak terhadap barangan baru yang kita beli ketika tetamu hadir, seolah-olah mahu tetamu yang hadir berbicara tentang barangan baru di rumah kita.


Meraih Manfaat Sepanjang berada di Haramain


Pasca Haji, kita khuatir keghairahan dalam beribadah mungkin semakin pudar. Apa-apapun, ambillah peluang yang khusus sepanjang kita berada di Mekah, dan bagaimana interaksi kita dengan Kaabah yang mulia


Ada dari kalangan jemaah yang cuba untuk konsisten melaksanakan umrah setiap hari demi mengekalkan momentum dan mampu memandang Kaabah setiap hari (nota: Tawaf sunat juga boleh dilaksanakan dalam mengekalkan interaksi kita dengan Kaabah). 


Ada suatu kisah seorang wanita yang amat merindui Ka'bah. Saban hari memohon doa kepada Allah agar dapat menjadi tetamuNya  


Ditakdirkan, akhirnya wanita ini berjaya menjejakkan kaki di Masjidil Haram. Semakin hampir dengan binaan Ibrahim ini, semakin longlailah kaki yang melangkah kerana rasa takzim dengan Ka'bah, kiblat kesemua umat Islam. Dengan penuh keharuan, wanita ini memautkan tangannya pada kelambu Ka'bah dan akhirnya meninggal dunia.


Inilah teladan keghairahan dan keterujaan yang perlu kita semaikan dalam hati kita terhadap Ka'bah. Jauh sekali daripada "menyembah" Ka'bah, tetapi adalah memuliakannya kerana itulah binaan bersejarah dan menjadi kiblat kita selama ini. Ia merupakan tanda yang dicintai Nabi dan tanda kebesaran Allah.


Hal ini persis tindakan Umar terhadap mengucup Hajarul Aswad.

Umar radliallahu 'anhu bahwa dia mendatangi Hajar Al Aswad lalu menciumnya kemudian berkata: 


"Sungguh aku mengetahui bahwa kamu hanyalah batu yang tidak bisa mendatangkan madharat maupun manfa'at. Namun kalau bukan karena aku telah melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menciummu tentu aku tidak akan menciummu.."

(Sahih Bukhari)


Maka bersama kita memuhasabah, di tahap manakah rindu kita kepada Ka'bah?


Ya, tanpa menafikan adanya pandangan yang meluaskan ganjaran 100,000 kali ganda pahala itu kepada kesemua ibadah yang dilaksanakan dalam Tanah Haram. Akhirnya, kita berpada dengan lebih banyak mendirikan solat di surau hotel berbanding Masjidil Haram. Mungkin memang ada kalangan jemaah yang kurang sihat dan pelbagai kondisi yang menjadikan surau hotel sebagai pilihan. Namun, bagi yang sihat, usahakanlah untuk hadir solat berjemaah di Masjidil Haram.


Andai kita memilih untuk solat di hotel, kita hakikatnya diluputkan daripada memperolehi fadhilat ini,


Rasulullah S.A.W bersabda:


مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً


Maksudnya: Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya.


Riwayat Muslim (666)


Ditambah pula dengan anjuran membaca doa ketika melangkah masuk ke Masjidil Haram,


Doa masuk masjid

بِسْمِ اللَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى ذُنُوبِى وَافْتَحْ لِى أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ


 Dengan menyebut nama Allah dan salam atas Rasulullah. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah kepadaku pintu rahmat-Mu).”


Andai di masjid biasa pun sudah disediakan rahmat, apatahlagi kita berdoa sebelum memasuki Masjidil Haram, semulia-mulia tempat ibadah.


(HR. Ibnu Majah, no. 771 dan Tirmidzi, no. 314. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih).


Bagi wanita yang uzur, seharusnya peluang memandang Ka'bah tidak disia-siakan. Hatta kita berdiri di hadapan pintu utama masjid kita sudah boleh memandang Ka'bah. 


Setelah memasuki masjid pula, kita berniat iktikaf. Andai boleh disebut, sebutlah secara spesifik masjid mana yang kita niatkan. Hati mana yang tidak tersentuh apabila kita menyatakan, "Aku beriktikaf di Masjidil Haram kerana Allah.."


Dan apabila kita berada dalam iktikaf, kita mungkin tidak mampu untuk membaca Quran, berzikir sepanjang masa. Adakalanya keletihan, mengantuk dan perlukan rehat. Indahnya berada dalam keadaan iktikaf ini, adalah kita sentiasa beribadat dan didoakan rahmat, asalkan kita tidak melakukan apa-apa maksiat. 


Dan siapa yang mendoakan rahmat ini? Ia adalah daripada makhluk yang sentiasa berada dalam ketaatan dan jauh sekali dari maksiat, iaitu Malaikat.


"Para malaikat senantiasa mendoakan salah seorang dari kalian selama ia masih di tempat ia shalat dan belum berhadas.


Malaikat berkata:

Ya Allah ampunilah dia, ya Allah rahmatilah dia..."

(Sahih Bukhari:426)


Ya, para Malaikat bukan sekadar berdoa sekali, tetapi doa TANPA HENTI. 


Mampukah kita berdoa tanpa henti?



Doa Adalah Kepala Ibadah


Dalam peristiwa Wukuf di Arafah baru-baru ini, ada yang mencadangkan kepada pembimbing, agar masa wukuf difokuskan hanya untuk doa. Hajat kami banyak, termasuklah kiriman doa dari sanak saudara dan rakan. Tidak perlu ada slot zikir dan sebagainya.


Namun, realitinya apabila tiba waktu berwukuf, jemaah tidak mampu memfokuskan keseluruhan waktu berwukuf dengan berdoa. Biasanya selepas 1-1.5 jam berdoa tanpa henti, kita akan mulai letih dan telahpun "menamatkan" doa kita.

Kenapa? 

: اَلدُّعَاءُ مُخُّ اَلْعِبَادَةِ


Doa adalah inti (otak) ibadah. (HR Tirmidzi)


Yang boleh kita fahami juga, doa merupakan kemuncak kepada ibadah, iaitu yang paling sukar dilaksanakan. Sukarkah meminta? Andai kita benar-benar menjiwai apa yang diminta, ia memerlukan fokus dan kekhusyukan yang maksima, sebab kita sedang berinteraksi terus dengan Allah yang Maha Penerima Doa. 


Ramai orang boleh solat lama, berzikir lama, tetapi tidak ramai yang mampu berdoa dengan khusyuk dalam keadaan lama. Maka benarlah berdoa itu merupakan kemuncak ibadah, dan yang paling "mencabar" untuk dilaksanakan dengan lama. Namun, ia memberikan indikator bahawa kemampuan untuk kita fokus berdoa dengan lama, Insya Allah kita mampu untuk melaksanakan ibadah lain dengan baik.


Kenangkan kembali ketika kita semua berwukuf di Arafah. Pada asalnya, kita merasakan waktu tidak mencukupi untuk kita memohon doa pada Allah. Namun, rupa-rupanya kita mampu "mengkhatamkan" doa kita lebih awal dari yang disangkakan. Mungkin inilah tanda keberkatan masa oleh Allah. Tugas yang dirasakan panjang tetapi dapat disempurnakan dalam masa yang singkat.


Cuba bandingkan pula dengan perbuatan lain seperti bersembang. Tanpa kita sedari, 2 jam, 3 jam berlalu. Dan lebih menyedihkan adalah apabila kita mengumpat. Barangkali yang sakit lutut pun tidak sedar sudah berdiri sekian lama. Begitulah penangan nafsu dan syaitan yang sentiasa cuba mengindahkan maksiat yang hakikatnya sebuah kejijikan!


Dan kenapa pula apabila kita ingin melaksanakan ibadah badan terasa berat? Ya, tidak lain adalah kerana kita sedang menentang nafsu dan "memijak" syaitan. Kita berada dalam peperangan! 


Namun begitulah tingginya nikmat Allah buat mereka yang beriktikaf. Biarpun kita tidak mampu untuk kekal dalam solat, zikir, doa, namun ketika kita berehat, menyemak HP-pun, kita masih didoakan rahmat oleh para Malaikat. Dan bukankah syarat masuk syurga itu dengan rahmat Allah? Maka, inilah jalan untuk kita ke syurga.


Ukhuwwah Di Jalan Allah


Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam , Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya;

(Salah satunya adalah) 

dua orang yang saling mencintai di jalan Allâh, keduanya berkumpul karena-Nya dan berpisah karena-Nya.


Sebelum ini, kalau kita hadir ke masjid, kita tidak ambil kesempatan untuk saling kenal mengenal sekurang-kurangnya jemaah di kiri dan kanan kita. Ambillah peluang, ketika solat berjemaah untuk bertanya khabar dan nama. Kenapa? Kerana di akhirat, kita bakal menjadi saksi sesama manusia. Alangkah indahnya, ketika kita dihisab amal, datang sahabat sejemaah masjid kita menjadi saksi di hadapan Allah,


"wahai Allah, aku menjadi saksi bahawa si fulan ini amat menjaga solat jemaahnya. Aku berada di sisinya..."


Dan hanya penyaksian ibadah dan amal bakal memberikan manfaat. Sedangkan rakan sehobi, ber'shopping' sama-sama, tiadalah memberikan manfaat, apatahlagi yang menjadi saksi akan kemaksiatan kita. 


Bila kita mula berkenalan, maka bersihlah sangkaan-sangkaan kita. Ada jemaah yang kita rasakan amat dingin sekali, ada yang kelihatan garang, namun dengan pengenalan, kita akan membuka sikap baik sebenar dan berubahlah pandangan kita.


Cemburu kepada Manusia yang Kuat Ibadahnya


Dalam banyak hal, cemburu adalah dilarang. Namun rasa cemburu kepada amal kebaikan orang lain lantas mendorong kita mempertingkatkan amal adalah diizinkan. Dalam konteks kita berada di Haramain, dengan siapakah harus kita berasa cemburu?


Antaranya adalah mereka yang mampu melakukan tawaf dan sangat hampir dengan Ka'bah. (Dan pastinya dengan cara yang beradab dan bukan dengan cara merempuh jemaah lain)


Ya, pastinya untuk melakukan hal ini, seseorang perlu menempuhi lautan manusia dan bersabar dengannya. Seterusnya adalah menahan teriknya mentari yang pasti memercikkan peluh.


Andai kita berasa panas, ingatlah betapa panasnya Mahsyar dan lebih-lebih azabNya di neraka. Maka, melalui ibadah tawaf, ia bukan sekadar ibadah ritual, tetapi sekaligus mendidik minda akhirat dalam diri kita. Ya, andai peluh mulai menitik, pastinya mengundang rasa tidak selesa. Rawatilah rasa itu dengan sebuah ingatan, bahawa peluh ini jugalah akan menjadi saksi pembela kita di akhirat nanti. 


Kenangkan kembali, berapa banyak peluh kita selama ini tumpah atas perkara yang kurang nilai di akhirat? Berpanas kerana membeli belah, berpeluh kerana bersukan dan sebagainya. (Pastinya hal di atas juga mempunyai nilai Ukhrawi andai disertai niat yang ikhlas). Namun, andainya kita rela untuk kesemua aktiviti lain, kenapa tidak kita kembangkan kerelaan kita untuk ibadah yang lebih utama, iaitu TAWAF.


Selain itu, cemburulah kepada mereka yang pecah-pecah kaki mereka kerana kuatnya berjalan menuju masjid dan ibadah. Ada yang hadir sebagai tetamuNya, bukanlah dari kalangan yang berada. Mungkin mereka hadir dengan bekalan yang "cukup-cukup" makan. 


Mereka tiada kemewahan untuk menyewa hotel yang berhampiran. Mereka perlu keluar mungkin sejam dua jam sebelum waktu solat daripada hotel mereka. Oleh sebab itu, ada yang keluar dari hotel sebelum subuh dan hanya pulang ke hotel selepas Isyak, kerana ghairahnya mereka untuk beribadah dalam Masjidil Haram.


Maka renungilah diri kita yang hadir sebagai tetamuNya mungkin dengan sekelian banyak kemudahan. Dengan banyaknya kemudahan, ada sedikit kegusaran akan pudarnya tawakal kita kepadaNya berbanding jemaah yang hadir dengan serba kekurangan.


Namun, hati dan badan masih terasa berat untuk ke masjid. Kita amat khuatir, adakah kita dinafikan Allah sebagai tetamuNya di rumahNya?


(Ambillah peluang yang ada, moga amalan kita diterima Allah)


Dan ketika kita berdoa, setiap doa ada sentimennya tersendiri. Ada ketikanya doa tentang dosa kita yang membuatkan empangan air mata kita pecah. Ada yang melibatkan ibubapa. Namun, bagi ustazah, antara perkara yang membuatkan beliau menangis adalah melihat akan jemaah haji yang lain berkorban yang dimanifestasikan melalui pecahnya tapak kaki mereka.


"Ya Allah, terimalah amal makcik dan pakcik ini..."


Bila mata menangis pasca berdoa, moga hati menjadi tenang dan lapang.


Amaran Untuk Generasi Kita


"kemudian akan datang selepas itu (selepas 3 generasi terbaik), suatu kaum yang menyukai kegemukan, mereka bersaksi sebelum diminta memberikan penyaksian.." (Sahih Muslim)


Tidak sesekali untuk kita melakukan sebarang "body shaming" kepada mereka yang berbadan besar. Hadith ini merupakan suatu kritikan kepada umat akan datang (kita) mereka menikmati makanan lebih daripada keperluan sehingga melampaui batas 


Oleh sebab itu, sebagai orang beriman, hendaklah kita perhatikan cara pemakanan. Jangan melazimi untuk sentiasa berasa terlalu kenyang ketika makan. Pilihlah untuk berhenti sebelum kenyang (atau terlalu kenyang).


Dengan menjaga pemakanan ia akan mempengaruhi juga kekuatan tubuh badan kita. Mari kita telusuri beberapa peristiwa Sirah yang menunjukkan betapa pentingnya kekuatan yang sebenar dibina.


Dalam peristiwa Hijrah, baginda Nabi bersama Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur. Siapa yang telah menziarahi perkarangan Jabal Tsur pasti dapat merasakan betapa curam, berbatu dan tingginya Gunung ini untuk didiami manusia. Mungkin sebab itulah Abu Bakar dan Muhammad saw mengambil strategi ini dengan harapan tiada yang mengetahuinya. 


Diriwayatkan ketika mendaki bukit ini, Nabi dibantu oleh Abu Bakar. Namun, ajaibnya kekuatan Abu Bakar yang tubuhnya lebih kurus berbanding baginda serta umurnya yang muda sedikit sahaja dari baginda Nabi saw. Tambahan pula mereka berdua sudahpun mencapai usia 50-an!


Andai kita berasa kagum dengan kekuatan Abu Bakar, perhatikan juga kepada anaknya, Asma' binti Abu Bakar (Ra). Siapakah yang membekalkan Nabi dan Abu Bakar sepanjang 3 hari dalam persembunyian di Gua Tsur? Ya, Asma', seorang wanita yang fitrahnya kudratnya kurang berbanding lelaki. Ditambah lagi mendaki dan menuruni Bukit Tsur dalam keadaan mengandung! Apakah yang mendorong Asma' dan Abu Bakar kepada pengorbanan ini? Ya, CINTA. CInta yang amat mendalam kepada Allah dan RasulNya.


Oleh sebab itu, peristiwa Sirah ini meneguhkan bahawa iman itulah kekuatan sebenar, dan faktor yang lebih kuat berbanding fizikal itu sendiri.


Pasca Haji: Jadilah Manusia Yang Bermanfaat


Dari Abu Hurairah r.a. lagi dari Nabi s.a.w. sabdanya:


“Nescayalah saya telah melihat seseorang yang bersuka-ria dalam syurga dengan sebab memotong sebuah pohon dari tengah jalanan yang pohon itu membuat kesusahan bagi kaum Muslimin.” (Riwayat Muslim)


Dalam riwayat Muslim yang lain disebutkan demikian: “Pada suatu ketika ada seorang lelaki berjalan melalui sebuah cabang pohon yang melintang di tengah jalanan, kemudian ia berkata:


“Demi Allah, nescayalah pohon ini hendak kulenyapkan dari jalanan kaum Muslimin supaya ia tidak membuat kesukaran pada mereka itu.” Orang tersebut lalu dimasukkan dalam syurga.


Tidak terujakah kita dengan tawaran Nabi SAW buat mereka yang mengangkat laluan di jalanan? Dalam situasi kita di Haramain, bagaimana ingin kita laksanakan perintah hadith ini?


Cuba kita menjadi peka, terutamanya ketika dalam perjalanan pergi dan balik ke Masjidil Haram. 

(Tambahan: Ingat lagikah kita dengan perjalanan ke Jamrah? Lawatan ke Arafah pasca Haji)


Apakah yang kita perhatikan di jalanan? Adakah ia bersih atau bagaimana? Biasanya ia akan dipenuhi dengan sampah sarap, botol, bekas makanan dan sebagainya. Cuba kita bayangkan andai kita menjemput orang bukan Islam ke tempat yang paling ramai mengumpulkan orang yang ingin "beragama", iaitu Mekah, adakah kita mampu berbangga atau sebaliknya? 


Sungguh janggal kita berada di tempat kelahiran baginda Nabi saw yang antara pesan utamanya adalah tentang kebersihan? Tidak cukupkah dengan hadith di atas untuk mendorong kita semua menjadi Muslim yang pembersih serta membersihkan?


Maka selepas ini, selain daripada berzikir sambil berjalan masjid, bawalah bersama kita plastik sampah yang akan kita gunakan untuk mengutip sampah yang hampir dengan kita. Botol-botol kosong yang bertebaran, boleh merisikokan jemaah tergelincir. 


Eh, bukankah sudah ada petugas pencuci? Ya, benar sekali dan itu merupakan tanggungjawab hakiki mereka. Namun, tidak tamakkah kita dengan ganjaran syurga?



قالوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا الْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ؟ قال: “إِطْعَامُ الطَّعَامِ، وَإِفْشَاءُ السَّلَامِ


“Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apa itu haji mabrur?’ Rasulullah Saw. menjawab, ‘Memberikan makanan dan menebarkan salam.’ (HR Ahmad)



Selain itu, fikirkan bagaimana kita mampu melaksanakan hadith di bawah, terutamanya tentang memberi makan kepada tetamu Allah yang lain? Ingat lagikah kita bagaimana budaya penduduk Haramain dalam melayan tetamu? Mereka yang berasa berterima kasih kepada tetamu kerana asbab kitalah mereka dipilih sebagai "perantara" Allah memberikan rezekiNya.


Andai kita pernah merasai pengalaman memberi makanan kepada tetamu Allah yang lain, kita akan dapat merasai bahawa kegembiraan memberi itu jauh lebih banyak daripada kegembiraan menerima.


Dan ternyatalah, bahawa Haji yang mabrur bukan sekadar menjadikan para Hujjaj orang yang rajin bersolat, zikir dan Qurannya, tetapi adalah Muslim yang proaktif dan tertanam sifat altruism yang amat tinggi.


Moga Allah menerima amalan dan kita dan mengurniakan kita dengan Haji yang Mabrur.


Wallahua'lam. 

Segala kekurangan adalah dari pencatat sendiri


Muhammad Shah (hasil mendengar rakaman FB live)

No comments: